• Bayi ditemui di hadapan kuil Bayi malang lengkap berpakaian yang ditemui di sebuah kuil, di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SITI SAFA MOHD NOR
1 / 1
SITIAWAN – Penduduk Taman Nesa, di sini dikejutkan dengan penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di sebuah kuil pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, bayi lelaki yang baru berusia seminggu itu ditinggalkan di kuil berkenaan dalam keadaan lengkap berpakaian.

Kehadiran bayi itu disedari seorang sami yang kebetulan datang ke kuil itu untuk menjalankan upacara keagamaan.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner, Jaafar Baba berkata, pemeriksaan secara fizikal ke atas bayi berkenaan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dikesan.

Bagaimanapun katanya, bayi berkenaan telah dirujuk ke Hospital Seri Manjung untuk pemeriksaan lanjut.

“Kita akan maklumkan kes ini kepadan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan pengawasan.

“Polis akan meneruskan siasatan bagi mengesan individu terlibat termasuk ibu bapa bayi berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Shafarin Abd Samad, 22, berkata, bayi berkenaan dimasukkan dalam sebuah bakul rotan lama yang dialas menggunakan kain lampin dan diletakkan di atas meja yang terdapat di kuil itu.

“Sebaik sami itu maklumkan kepada penduduk ada bayi, kami datang untuk melihat bayi itu.

"Bayi itu nampak macam sihat sahaja, mungkin masih baru sebab tali pusat belum tanggal,” katanya.