Pages

Wednesday, February 29, 2012

BAYI TAHUN LOMPAT

BAYI TAHUN LOMPAT...Seorang jururawat bersama sebahagian bayi yang dilahirkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya semalam, tarikh yang disifatkan istimewa kerana 29 Februari cuma hadir setiap empat tahun atau lebih dikenali sebagai tahun lompat. - Foto Nik Hariff Hassan
Mar 1, 2012 7:41 am

Tuesday, February 28, 2012

Tampal mulut bayi


KESAL...Shaherah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya sambil Norhashimah (kiri) menunjukkan gambar anaknya, Ahmad Afiq yang ditampal pita pelekat.
KESAL...Shaherah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya sambil Norhashimah (kiri) menunjukkan gambar anaknya, Ahmad Afiq yang ditampal pita pelekat.
JOHOR BAHRU: Marah kepada majikan, dua pengasuh sebuah pusat asuhan di Taman Kota Masai, dekat sini, bertindak kejam menampal pita pelekat pada mulut bayi jagaan mereka manakala tubuh pula dililit ketat dengan kain bedung.
Tidak cukup dengan itu, dua pengasuh terbabit turut membuat rakaman video gambar tujuh bayi di bawah jagaan mereka itu sebelum rakaman berkenaan diedarkan kepada umum.
Berikutan perbuatan khianat dua wanita berusia 20 dan 22 tahun itu, pemilik pusat asuhan berkenaan, Shaherah Abd Malik berdepan pelbagai masalah untuk menjelaskan apa sebenarnya berlaku kepada pelbagai pihak yang memandang serong terhadapnya.

“Ini perbuatan khianat. Hakikatnya, saya dan pengasuh lain tidak pernah mengabaikan kebajikan bayi serta kanak-kanak yang dihantar ke pusat asuhan kami.

“Dua bekas pekerja saya itu sengaja berbuat demikian bagi merosakkan nama baik dan perniagaan saya,” katanya.

Tuesday, February 21, 2012

Dua bayi rayu nyawa@bantuan

KUALA LUMPUR: Ketika suami isteri lain menunggu kelahiran bayi sulung dengan perasaan tidak sabar dan gembira, Sharifah Sholehah Mat, 26, dan pasangan reda ketentuan Ilahi apabila bayi lelaki mereka dikesan menghidap masalah jantung.
Sharifah Sholehah berkata, pada usia kandungannya tujuh bulan, doktor memaklumkan bayinya, Eezhan Hakiqi Abdul Halim kini empat bulan, menghidap jantung berlubang, namun ketika itu sukar mengesan keadaan sebenar anaknya sehingga dia dilahirkan.

“Ketika doktor memberitahu keadaan Eezhan Hakiqi (ketika kandungan tujuh bulan), saya dan suami, Abd Halim Marzuki, 28, bersedia mental dan fizikal kerana sedar, dia takkan membesar seperti bayi normal selagi tidak dirawat sepenuhnya.
“Apabila dia dilahirkan, keadaan bertambah buruk apabila doktor memaklumkan jantungnya mempunyai dua lubang dan terletak di sebelah kanan berbanding normal sebelah kiri menyebabkan rawatan segera perlu dilakukan selepas dia berdepan komplikasi.

“Pembedahan pertama November tahun lalu iaitu sebulan selepas Eezhan Hakiqi dilahirkan untuk membetulkan salur darah ke jantungnya dan melancarkan peredaran darah, tetapi rawatan susulan mendapati anak saya perlu dibedah semula.

“Dia didapati tidak mempunyai limpa, sukar membuang air. Keadaannya menyebabkan saya sentiasa risau dan tak lena tidur kerana bimbang dia meragam dan kurang selesa,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, di sini, semalam.
Sharifah Sholehah berkata, kos perubatan ditanggung sangat tinggi termasuk pembedahan kedua dijadualkan Sabtu ini, malah pendapatan bulanan suami sebagai kerani bank di Sepang sekitar RM1,777 tidak mencukupi.

Menerima nasib sama seperti Eezhan Hakiqi ialah Tan Chin Sen berusia empat bulan berdepan komplikasi jantung selepas dilahirkan, malah menurut ibunya, Loi Kang Nee, 38, anak bongsunya perlu dibedah membabitkan kos RM60,000.
“Sebagai ibu, memang saya risau nasib anak saya apatah lagi lima abang dan kakaknya tidak mempunyai masalah kesihatan sedangkan dia perlu dijaga dengan rapi sehingga tidur malam pun saya terpaksa tunggu sehingga dia benar-benar stabil.

“Harapan saya, Chin Sen pulih segera dan pembedahan diatur nanti berjaya. Suami, Tan Yong Aik hanya berpendapatan RM1,200, mengumpul barang kitar semula, memang tak cukup tampung kos rawatan.

“Diharap ada pihak sudi membantu kami,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menghantar cek atas nama The New Straits Times Press (M) Berhad dengan menyertakan nama pemohon di belakang cek dan menghantarnya kepada Tabung Kebajikan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Saturday, February 4, 2012

Tersilap cucuk susu


LAPOR...Laifi menunjukkan laporan polis dibuatnya. Gambar kecil, Fiebienly.
LAPOR...Laifi menunjukkan laporan polis dibuatnya. Gambar kecil, Fiebienly.
KOTA KINABALU: Pilu hati sepasang suami isteri apabila anak mereka berusia dua tahun yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) selepas menjalani pembedahan membuang tumor dalam otak, kini kritikal dan didakwa akibat kecuaian jururawat.
Bapa kanak-kanak itu, Laifi Joseph, 42, mendakwa seorang jururawat tersilap memasukkan cecair dipercayai susu ke saluran darah anaknya, Fiebienly Laifi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, di sini, empat hari lalu.

Menurutnya, anak perempuannya yang juga orang kelainan upaya (OKU) baru selesai menjalani pembedahan dan kimoterapi selepas disahkan menghidap tumor dalam otak.

“Saya kesal dengan sikap jururawat itu yang cuai ketika menjalankan tugas sehingga nyawa anak saya terancam,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di hospital itu, semalam.

Menurutnya, kejadian itu disedari kira-kira jam 7 pagi pada 1 Februari lalu ketika dan dan isteri melawat Fiebienly yang ditempatkan di PICU.

“Kami terkejut apabila mendapati tiub di bahagian ketiak kiri Fiebienly yang biasanya menyalurkan ubat dipenuhi cecair seperti susu, manakala lengannya mulai membiru,” katanya.


Laifi berkata, dia terus memanggil doktor bertugas ketika itu dan pegawai perubatan itu kemudian mengarahkannya keluar dari wad untuk membolehkan pemeriksaan dilakukan.

Katanya, mengikut prosedur setiap jam 6 pagi atau selepas tiga jam anaknya akan diberikan susu.

“Saya yakin jururawat tersilap memasukkan susu di saluran yang tidak betul kerana biasanya makanan hanya disalurkan melalui tiub yang dimasukkan melalui hidung.

“Selepas kejadian itu, ada doktor dan pihak pengurusan menemui saya dan menyatakan permohonan maaf di atas kesilapan itu,” katanya.

Menurutnya, apa dikesalkan kini pihak hospital seolah-olah cuba menyembunyikan kesilapan itu dan berdolak-dalih.

“Saya mahu tahu siapa individu yang bertanggungjawab dan dia perlu meminta maaf secara berdepan dengan saya kerana ia membabitkan nyawa manusia.

“Apatah lagi, anak saya baru berusia dua tahun dan OKU pula,” katanya yang ‘menetap’ di hospital berkenaan sejak tiga bulan lalu.

Laifi berkata, selepas kejadian terbabit, dia mendapati tubuh anaknya semakin susut.

“Walaupun doktor menyatakan anak kami tiada sebarang masalah akibat kejadian itu, kami tetap bimbang kerana perubahan berat badan agak ketara,” katanya.

“Anak kami baru saja menjalani pembedahan dan masih dalam keadaan lemah, berlaku kejadian ini pula,” katanya.

Sehubungan itu, Laifi membuat aduan kepada pihak hospital mengenai perkara itu kerana bimbang kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini pada masa depan.

“Saya juga sudah membuat laporan polis kerana bimbang sekiranya berlaku sebarang masalah terhadap anak kami selain hospital tidak mahu bertanggungjawab,” katanya yang turut mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang.

Ibu mangsa, Debbie Lee, 25, mendakwa individu yang melakukan kesilapan itu tidak pernah bertemu suami atau dirinya meminta maaf.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika dihubungi, memberi jaminan pihaknya akan melakukan siasatan terperinci mengenai perkara itu.

“Ini kes serius kerana membabitkan kecuaian. Saya akan meminta hospital itu memberi laporan penuh kejadian sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.
Powered By Blogger