Pages

Wednesday, March 28, 2012

Mayat bayi dalam beg di kawasan sampah

Mayat bayi
KEMAMAN – Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dijumpai bersama uri, dalam sebuah beg pakaian di tapak pembuangan sampah, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) Mak Chili, Jalan Ibok, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Beg berisi mayat bayi malang yang dipercayai baru dilahirkan itu, ditemui oleh seorang pemungut sampah kira-kira jam 5.50 petang.

Pemungut sampah terbabit yang pada mulanya menyangkakan beg tersebut mengandungi barang berharga, terkejut apabila melihat jasad bayi yang telah kaku dalam satu beg plastik berwarna oren bercampur hitam, yang diletakkan dalam beg pakaian berwarna merah dan kuning.

Penemuan menyayat hati itu kemudian diberitahu kepada rakannya yang bekerja di tapak pembuangan sampah itu sebelum dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, bayi berkenaan cukup sifat dan berkulit cerah.

“Siasatan lanjut di tapak pembuangan sampah mendapati, mayat bayi dipercayai dibawa oleh lori sampah MPK yang terakhir membuang sampah di kawasan tersebut pada jam 3 petang,” katanya.

Mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang, pagi semalam, untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Abdullah Sani meminta pihak hospital atau klinik swasta yang merawat pesakit mencurigakan seperti mempunyai tanda baru melahirkan anak, supaya menghubungi pegawai penyiasat kes tersebut yang juga Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kemaman,
Asisten Superintendan (ASP) Jamil Mohd Sahad, menerusi talian 014-8007222 bagi membantu siasatan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kelahiran dan pembuangan bayi ini juga diminta tampil memberi kerjasama kepada polis.

Sunday, March 4, 2012

Sifat ingin tahu tinggi


pix_middle 
PASANG PAGAR...pagar di tangga sebagai langkah keselamatan.
PASANG PAGAR...pagar di tangga sebagai langkah keselamatan.
KANAK-KANAK memang golongan unik. Walaupun tangisan mereka seolah-olah boleh memecahkan tingkap rumah kerana sakit terjatuh ketika bermain, tetapi sejurus selepas tangisan berhenti, si kecil ini boleh berlari dan bermain semula seperti tiada apa yang berlaku.
Inilah kelebihan kanak-kanak khususnya yang masih kecil mereka mudah lupa rasa sakit. Maka tidak hairanlah jika kanak-kanak sangat terdedah kepada kemalangan di rumah yang boleh menyebabkan kecederaan.
Dalam satu kajian, Singapura mencatatkan 56.4 peratus kes kecederaan atau kecemasan di rumah yang membabitkan kanak-kanak. Walaupun tiada data untuk kes kecederaan kanak-kanak di rumah di negara kita tetapi rasanya senarionya lebih kurang sama. Luka, kulit melecet, berdarah, lebam dan bengkak sudah jadi asam garam bagi kehidupan kanak-kanak.

Menurut Abdul Rasheed Doad dari Pusat Latihan Pertolongan Cemas Singapura, ibu bapa perlu mempelajari ilmu bantuan kecemasan kerana kebarangkalian untuk kemahiran ini digunakan di rumah sangat tinggi.

Kata orang, malang tidak berbau, jadi lebih baik jika bersedia supaya tidak panik dan boleh bertindak pantas sekiranya kejadian tidak diingini berlaku di depan mata.


Kenapa kes kecemasan di rumah pada kanak-kanak berbeza daripada orang dewasa? Ini disebabkan beberapa faktor:
  • Saiz badan kanak-kanak yang kecil. Jika mereka jatuh, ada kemungkinan kesan hentakan akan terus terkena pada tulang.
  • Struktur badan yang berbeza dan kecil berbanding orang dewasa. Pada pesakit asma contohnya, serangan asma akan membuatkan saluran pernafasan orang dewasa mengecil sebanyak 25 peratus, tetapi pada kanak-kanak, saluran ini hampir tertutup sepenuhnya yang membuatkan mereka tidak boleh bernafas.
  • Sifat ingin tahu yang tinggi. Mereka ingin tahu mengenai badan sendiri dan persekitaran menyebabkan ada yang memasukkan jari ke dalam hidung, di celah pintu atau ke lubang soket di dinding. Sifat ini jugalah yang membuat mereka menyentuh kuali panas atau menarik wayar cerek air.

    Darjah luka kebakaran antara orang dewasa dengan kanak-kanak juga tidak sama.
    Contohnya jika tempat terbakar (contohnya terkena air panas) bersaiz kertas A4, pada orang dewasa ia bukanlah masalah besar tetapi pada kanak-kanak mungkin jadi kes serius.


    Kecemasan biasa dan bantuan

    Abdul Rasheed berkata, antara kes kecemasan pada kanak-kanak yang biasa berlaku di rumah adalah:
  • Luka dan berdarah - Jika anak anda luka dan berdarah, tekap luka berkenaan dengan kain atau tuala bersih. Tekan (sederhana kuat) selama 10 minit bagi menghentikan pendarahan. Lekatkan kain berkenaan supaya ia terus berada di atas luka selama beberapa jam.

    Kaedah ini sangat penting kerana pendarahan yang tidak berhenti boleh membahayakan nyawa si kecil kerana jumlah darah dalam badan mereka sedikit.

    Sekiranya saiz luka besar, dalam dan berdarah banyak, tekap luka dengan
    kain bersih dan segera bawa ke klinik atau hospital berhampiran.

    “Ada ibu bapa bertanya, jika tangan luka, bolehkah tangan berkenaan diangkat tinggi (bagi mengurangkan aliran darah). Kaedah ini memang boleh dilakukan tetapi kajian mendapati ia tidak membantu mengurangkan pendarahan.

    Apa yang penting ialah memberikan tekanan pada luka supaya pendarahan berhenti,” katanya pada seminar kesihatan anjuran Pusat Perubatan Tropicana.

  • Hidung berdarah - Duduk�kan anak di atas kerusi dan minta dia condongkan badan ke depan. Picit hidung betul-betul di bawah tulang hidung (pada bahagian yang lembut). Darah akan berhenti dalam masa beberapa minit.

    Mengapa perlu condongkan badan ke depan dan bukannya bersandar sambil mendongakkan kepala seperti yang selalu diamalkan orang dulu? Jika mencondongkan badan ke belakang dikhuatiri darah ini akan mengalir masuk ke dalam saluran pernafasan (dan sampai ke paru-paru) atau saluran makanan dan sampai ke perut. Kemasukan darah ke dalam perut juga ada kesan yang tidak bagus kerana ia boleh membuatkan kanak-kanak muntah.

    Sekiranya pendarahan tidak berhenti selepas 10 minit, bawa anak ke klinik. Ia boleh membahayakan kanak-kanak terutama yang ada masalah jumlah platelet darah yang rendah. Anda juga boleh menekapkan pek ais pada hidung anak untuk menghentikan pendarahan.

  • Lebam dan bengkak - Segera tekapkan bahagian yang lebam dengan pek ais. Ia dapat mencegah lebam berkenaan daripada membengkak.

    Dalam perkara ini, Abdul Rasheed mengingatkan ibu bapa supaya jangan sekali-kali menggosok atau mengurut bahagian yang lebam itu dengan sebarang balsam atau minyak. Seandainya lebam berkenaan besar saiznya dan anak berasa sangat sakit, ia mungkin menandakan keretakan tulang. Urutan hanya akan memburukkan keadaan.

  • Bantuan pernafasan kecemasan kanak-kanak. Teknik ini perlu dipelajari dengan teliti. Sebaiknya dapatkan guru (jururawat atau kakitangan perubatan bertauliah) mengajar anda. Jika anda lihat anak anda seperti pengsan, baringkan kanak-kanak berkenaan dalam kedudukan terlentang.

    Geletek kakinya untuk melihat tindak balasnya. Minta ahli keluarga menghubungi ambulans (dail 999). Dongakkan kepalanya sedikit dan cuba dengar bunyi pernafasan atau melihat pergerakan dadanya. Lakukan teknik ini dalam tempoh 10 saat.

    Jika dia tidak bernafas, bersedia untuk memberikan bantuan pernafasan kecemasan. Letakkan dua jari (jari hantu dan manis) di tengah-tengah dadanya dan tekan sebanyak 30 kali. Tekan sedalam empat sentimeter (satu setengah inci).

    Buka mulutnya dan hembuskan udara ke dalam mulut kanak-kanak itu sehingga nampak dadanya naik tetapi jangan hembus terlalu kuat. Beri dua hembusan. Ulang teknik ini sehingga kanak-kanak sedar atau bantuan sampai.


    Kecederaan kepala

    Perunding Paediatrik dan Neonatalogi, Dr Anushree Narayanan berkata, kecederaan kepala biasa berlaku pada kanak-kanak dan remaja tetapi kebanyakannya bersifat ringan dan tidak menyebabkan kecederaan otak serta komplikasi jangka panjang.
    Sangat jarang berlaku kecederaan kepala di rumah sehingga mengakibatkan komplikasi serius atau pendarahan dalam otak.

    Antara punca kecederaan kepala ialah jatuh, kemalangan motosikal, kemalangan ketika berjalan atau berbasikal, kecederaan sukan dan penderaan. Bagaimanapun, setiap kecederaan kepala tetap ada risiko kecederaan otak. Namun risikonya bergantung kepada beberapa faktor seperti di bawah.


    Risiko rendah berlaku kecederaan otak jika:
  • Jatuh dari tempat rendah contohnya sofa.
  • Jatuh ke atas permaidani atau lantai kayu.
  • Terhantuk dengan objek lembut.
  • Kemalangan pada kelajuan rendah.


    Risiko tinggi berlaku kecederaan otak jika:
  • Jatuh dari tempat tinggi.
  • Jatuh atas permukaan keras seperti lantai simen atau marmar.
  • Terhantuk atau berlanggar dengan objek keras seperti bola golf.
  • Penderaan termasuk menggoncang bayi dan memukul kepala kanak-kanak.


    Tanda dan gejala akibat �kecederaan kepala
  • Kepala anak anda bengkak biasanya pada dahi. Anda perlu lebih bimbang jika bengkak ini berada di tepi atau belakang kepala kerana ada kemungkinan berlaku keretakan tengkorak.
  • Anak anda pitam. Pitam dalam jangka masa sangat pendek iaitu kurang daripada satu minit. Walaupun perkara ini sangat jarang berlaku tetapi jika anak anda pitam, segera bawa dia ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

    Jika anak jatuh dan menangis kuat, itu petanda baik kerana ia hanya membabitkan bahagian luar kepala saja. Tidak mengapa jika dia menangis lama kerana yang penting dia dalam keadaan sedar. Anda perlu risau kalau anak pitam, walaupun hanya untuk beberapa saat kerana itu petanda tidak baik.
  • Sakit kepala. Masalah ini biasa berlaku dan membabitkan 20 peratus kanak-kanak. Pada kanak-kanak kecil, mereka akan meragam.
  • Muntah. Jika anak anda muntah selepas kepalanya terhantuk, jangan bimbang kerana ia adalah perkara biasa. Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak akan muntah sekurang-kurangnya sekali. Namun anda perlu berasa bimbang sekiranya anak anda muntah berulang kali terutama jika perkara itu berlaku lama selepas kemalangan (lima hingga enam jam). Segera bawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
  • Sawan. Ia jarang berlaku tetapi jika ada ia mungkin menandakan kecederaan otak.
  • Keliru. Ia biasanya disebabkan kecederaan otak. Anak anda mungkin menunjukkan tanda seperti tidak ingat perkara yang baru berlaku, muntah dan berasa pening.
  • Biasanya anak yang terjauh akan tidur seketika selepas kemalangan. Jangan bangunkan anak, sebaliknya biarkan dia berehat dan tidur secukupnya. Apabila anak bangun, dia sepatutnya boleh mengecam anda, ahli keluarga lain dan keadaan sekelilingnya.


    Bila ibu bapa perlu risau?

    Semua ibu bapa risau apabila kepala anak mereka terhantuk kuat. Mereka akan lebih risau apabila mendengar tangisan anak yang kuat dan tidak berhenti.
    Seperti disebut di atas, tangisan dalam keadaan sedar itu petanda baik kerana ia tidak membabitkan kecederaan otak.

    Kanak-kanak terutama yang masih kecil tidak ingat kesakitan dialami ketika jatuh. Biasanya selepas berhenti menangis, mereka akan bangun dan bermain semula. Bagaimanapun, ibu bapa perlu risau apabila anak menunjukkan tanda seperti:
  • Muntah berulang kali atau muntah selepas beberapa jam kemalangan berlaku.
  • Mengalami sawan.
  • Kemalangan berlaku pada bayi berumur kurang daripada enam bulan.
  • Pitam seketika.
  • Sakit kepala yang keterlaluan dan semakin teruk.
  • Perubahan tingkah laku seperti lesu, sukar untuk terjaga, sangat meragam dan perlakuan tidak normal yang lain.
  • Anak sukar berjalan, jadi kelam-kabut atau hilang keseimbangan.
  • Keliru dan percakapan menjadi tidak jelas.
  • Pening kepala yang tidak hilang atau berulang-ulang.
  • Keluar darah atau cecair badan daripada hidung atau telinga.
  • Pendarahan yang tidak berhenti walaupun sudah memberi tekanan pada luka selama 10 minit.
  • Anak jatuh dari tempat tinggi (yang lebih tinggi dari anda).

    Jika anak anda mengalami gejala di atas, bergegaslah ke hospital. Biasanya anak anda akan ditahan di hospital bagi membolehkan doktor membuat pemantauan dalam tempoh 24 jam.


    Perlukah dilakukan imbasan sinar-X atau CT pada kepala anak anda?

    Perkara ini tertakluk kepada keadaannya. Biasanya doktor hanya akan menyarankan imbasan sinar-X jika didapati ada benjolan atau darah beku pada kepala si kecil. Imbasan CT pula hanya dilakukan jika muncul tanda yang membimbangkan.
    Jika tidak, imbasan ini tidak perlu kerana setiap imbasan ada risiko radiasi.

    Perlu anda ketahui bahawa radiasi imbasan CT adalah 20 kali ganda lebih tinggi berbanding sinar-X.


    Pencegahan kemalangan di rumah

    Ada banyak perkara yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan kemalangan dan kecederaan di rumah. Antara langkah mudah termasuk:
  • Pasang pintu pagar pada tangga. Jika tangga tidak mempunyai susur tangan, peruntukkan sedikit wang untuk memasang susur tangan yang baik.
  • Pasang jeriji pada tingkap terutama bagi mereka yang tinggal di pangsapuri tingkat satu dan ke atas. Malah rumah teres dua tingkat juga disarankan memasang jeriji.
  • Elakkan sama sekali �menggunakan kerusi duduk bayi beroda. Ia bukan saja memperlahankan proses berjalan, malah membuatkan bayi berjalan �dengan cara yang salah serta berbahaya kerana mudah terbalik.
  • Jika mahu menghampar permaidani, pastikan ia �mempunyai lapisan penahan yang tidak mudah bergerak atau teralih.
  • Jangan meletakkan bayi anda di tempat yang boleh membuatkan dia jatuh.
  • Beli penutup soket kerana bayi dan kanak-kanak kecil sangat ‘tertarik’ untuk memasukkan jari halus mereka ke dalam lubang yang kecil itu.
  • Beli kerusi bayi untuk diletakkan dalam kenderaan.
  • Pastikan semua peralatan elektrik dipadamkan suisnya selepas digunakan.
  • Jangan biarkan wayar alat elektrik terjuntai sehingga boleh dicapai anak kecil.
  • Ajar anak mengenai keselamatan di rumah dan terangkan kepada mereka mengapa setiap perkara itu penting.
  • Bagi anak yang aktif bersukan, belikan kelengkapan bersesuaian.
  • Sayang anak terbuang


    LINDUNG...Ketua Komuniti Ibu Bapa Orphan Care, Kim Rozali menunjukkan peti Baby Hatch di Orphan Care.
    LINDUNG...Ketua Komuniti Ibu Bapa Orphan Care, Kim Rozali menunjukkan peti Baby Hatch di Orphan Care.
    KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,600 permohonan diterima dan berada dalam senarai menunggu Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (Orphan Care) daripada pasangan suami isteri yang ingin mendapatkan anak angkat.
    Jumlah itu diperoleh sejak Orphan Care ditubuhkan pada 2008 dan sepanjang tempoh sama 400 pasangan sudah ditemuduga untuk menentukan sama ada mereka layak menerima anak angkat atau sebaliknya.
    Penyelaras Perhubungan Kerajaan Orphan Care, Datin Elya Lim Adnan berkata, sejak kewujudannya hingga kini, pertubuhan bukan kerajaan itu (NGO) menerima 50 bayi termasuk tiga yang ditinggalkan di peti Baby Hatch.

    “Baby Hatch atau peti perlindungan bayi tidak diingini ini diwujudkan dua tahun lalu dan setakat ini tiga bayi ditinggal di situ tanpa maklumat kelahiran biarpun kami menyediakan borang untuk diisi,” katanya.

    Menurutnya, seorang daripada bayi yang sudah diserahkan kepada ibu bapa angkat itu ialah bayi cacat atau orang kelainan upaya (OKU).

    “Bayi OKU itu kudung di tangan kanan dan sumbing. Dia kini menjadi anak angkat kepada pasangan yang sudah mempunyai anak dan tidak kisah terhadap kecacatan fizikalnya,” katanya.

    Beliau berkata, kebimbangan terhadap keselamatan anak mungkin menyebabkan ramai individu tidak mahu meletak bayi mereka dalam Baby Hatch, sebaliknya memilih untuk menyerahkan kepada pegawai pusat berkenaan.

    “Kami percaya individu yang meletak bayi dalam peti Baby Hatch tidak mahu mendedahkan maklumat yang mengaitkan diri dengannya,” katanya.

    Katanya, Baby Hatch dilengkapi penghawa dingin, tilam dan bantal, lampu, kamera litar tertutup termasuk ‘sensor’ berat badan yang akan mengaktifkan penggera supaya penjaga pusat berkenaan mengetahui ada bayi diletak dalam peti itu.

    “Pintu peti berkenaan tidak boleh dibuka semula selepas bayi diletak di dalamnya dan ini dilakukan sebagai langkah keselamatan untuk mengelak kanak-kanak itu diambil orang lain,” katanya.

    Elya Lim berkata, Orphan Care juga membantu wanita hamil anak luar nikah untuk persiapan kelahiran bayi dan proses pendaftaran anak angkat termasuk kaunseling.

    Menurutnya, berlaku kejadian seorang pelajar wanita sebuah institut pengajian tinggi enggan menyerahkan anaknya kepada keluarga angkat selepas melahirkannya.

    “Pelajar berusia 20-an tahun itu mendakwa dia dipaksa melakukan hubungan seks oleh seorang kenalan lelaki yang sudah berumah tangga sehingga hamil.

    “Pelajar itu memberitahu dia sering didera lelaki terbabit dan mengadu masalahnya kepada seorang rakan yang menghubungi kami untuk memberi bantuan sewajarnya,” katanya.

    Katanya, bagaimanapun, selepas selesai proses pengambilan anak angkat, emosi pelajar itu terganggu sehingga sering menyatakan hasrat untuk bertemu semula dengan anaknya yang sudah pun diserahkan kepada keluarga angkat.

    “Selepas menjalani beberapa sesi kaunseling, dia mula yakin bayi berkenaan dijaga dengan baik oleh keluarga angkat dan menerima hakikat itu,” katanya.

    Sementara itu, Elya Lim berkata, ramai orang beranggapan Orphan Care seolah-olah menggalakkan pasangan belum kahwin menghasilkan anak luar nikah dengan penubuhan Baby Hatch.

    “Tujuan Baby Hatch ini supaya wanita melahirkan anak luar nikah tidak membuang atau membunuh bayi yang tidak berdosa.

    “Matlamat Orphan Care adalah untuk mengurangkan masalah pembuangan bayi. Sama ada Baby Hatch ada atau tidak, gejala ini tetap berlaku dalam masyarakat kita,” katanya.

    Antara 2005 dan 2011, sebanyak 517 kejadian pembuangan bayi direkodkan di seluruh negara dengan 287 daripadanya ditemui mati.

    Thursday, March 1, 2012

    Tuah bayi ‘melompat’


    GEMBIRA...Catherine dan suaminya, Chan seonok  dengan kelahiran  cahaya mata sulung  mereka.
    GEMBIRA...Catherine dan suaminya, Chan seonok dengan kelahiran cahaya mata sulung mereka.
    ISTIMEWA...Syarifah Nurul Idayu di samping bayi perempuannya.
    ISTIMEWA...Syarifah Nurul Idayu di samping bayi perempuannya.
    KUALA LUMPUR: Tidak pernah merasa menjadi anak tahun lompat, namun siapa sangka melahirkan bayi pada tanggal istimewa itu, semalam sebenarnya turut menyuntik perasaan gembira dan merasa diri cukup bertuah.
    Eksekutif Kewangan, Catherine Chin Derosani Atu Lolong, 28, melahirkan bayi sulung perempuan pada tanggal 29 Februari semalam berkata, saat melahirkan itu adalah pengalaman yang tidak akan dilupakannya berikutan dia sudah bertarung nyawa untuk melahirkan bayinya pada malam sebelumnya lagi.

    “Saya sudah dimasukkan ke bilik bersalin pada malam Selasa, namun kerana kesukaran melahirkan secara normal, doktor memutuskan untuk menjalankan pembedahan secara Caesarean dan akhirnya dia lahir tiga minit selepas 12 tengah malam (0003) dengan berat 3.82 kilogram.
    “Saya dan suami, Chan Chee Kean, 32, memang tak sangka dia ‘menunggu’ untuk dilahirkan pada tanggal 29 Februari, tahun lompat, kerana kami harap dia lahir pada 28 Februari. Apapun, kami gembira dan dia kini sangat istimewa,” katanya di temui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini semalam.

    Bagi guru, Zaharah Nawi, 32, dia sukar menggambarkan perasaannya apabila selamat melahirkan bayi perempuan pada jam 5.15 pagi semalam sedangkan tarikh anaknya dijangka dilahirkan pada 4 Mac depan.

    “Saya memang tidak sangka akan lahirkan anak kedua hari ini (semalam). Memang tak ada tanda-tanda nak bersalin, malah hari sebelumnya saya juga masih bekerja dan pulang ke rumah di Shah Alam sekitar 6.30 petang.
    “Cuma pada malam, tiba-tiba sakit semacam dan suami, Aidil Saifan Abu Bakar, 35, terus membawa saya ke hospital dan bayi kami ini akhirnya selamat dilahirkan pagi tadi secara normal dengan berat 2.90 kilogram.

    “Harapnya, dia menjadi anak yang membawa tuah kepada keluarga kami kerana kelahirannya pada tanggal yang cukup istimewa, malah sambutan hari jadinya juga setiap empat tahun sekali,” katanya.
    Sementara itu, Syarifah Nurul Idayu Syed Jaafar, 24, seorang jururawat, menganggap anak sulung perempuannya yang baru melihat dunia semalam, ‘memang’ mahu dilahirkan pada tahun lompat berikutan tarikh jangkaan bersalin yang ditetapkan doktor padanya adalah 11 Mac depan. Katanya, bayi perempuan itu yang dilahirkan pada jam 7.23 pagi secara normal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak banyak meragam sejak dalam kandungan lagi, malah proses kelahirannya berjalan dengan baik sehingga dia sendiri rasa terkejut kerana kini sudah beranak.

    “Tak ada dalam sejarah keluarga saya mahupun suami yang lahir pada tahun lompat, tetapi apabila anak yang kami namakan Siti Zulaikha Nor Hashim lahir hari ini (semalam), memanglah buatkan perasaan bercampur baur,” katanya.
    Powered By Blogger