Pages

Sunday, January 22, 2012

Bayi kembar siam Riau meninggal dunia

JAKARTA: Bayi kembar Siam yang dilahirkan seorang ibu di sebuah daerah di Riau, lebih seminggu lalu meninggal dunia malam tadi di Hospital Negeri Arifin Achmad, Pekanbaru, selepas mengalami kegagalan jantung. 

Bayi perempuan yang berusia sembilan hari itu mendapat rawatan khusus daripada sepasukan doktor di hospital berkenaan, namun keadaan kesihatan mereka berubah menjadi buruk sejak malam kelmarin.
"Kami sudah berusaha secara maksimum, tapi pesakit tidak dapat diselamatkan," kata ketua pasukan doktor Hospital Negeri, Arifin Achmad Dr Tubagus Ondih seperti yang dipetik agensi berita ANTARA.
Dr Tabagus berkata, bayi kembar Siam yang belum diberi nama itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.30 malam Ahad iaitu satu setengah jam sebelum Tahun Baru Cina, kerana kegagalan kemampuan satu jantung untuk dua individu. 

Sejak malam kelmarin mereka mula mengalami penurunan kadar oksigen dalam darah dan jantung mereka berdenyut dengan sangat laju sehingga mencapai 170 denyutan seminit. 

Keadaan itu dipercayai berlaku kerana mereka hanya mempunyai satu jantung yang berfungsi mengepam darah untuk dua badan. 

Kembar Siam itu lahir melalui pembedahan dalam keadaan bercantum di bahagian dada dan perut di Hospital Indrasari, Daerah Indragiri Hulu pada 14 Januari lalu dan dirawat di Hospital Negeri Arifin Achmad, Pekanbaru sejak 15 Januari. 
Semasa dilahirkan, berat mereka ialah empat kilogram. 

Kembar Siam itu adalah anak pasangan Parsini dan Riswanto, penduduk Kampung Kuala Gading, daerah kecil Batang Cenaku, Indragiri Hulu. 

Kelahiran mereka mendapat perhatian kerana ia adalah kes yang jarang berlaku, iaitu pada peluang satu berbanding 500,000 kelahiran di dunia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger